Saturday, February 2, 2013

Muhammad Zaim Zayyan


Muhammad Zaim Zayyan Bin Khairudin

It’s a boy !
Alhamdulillah... Setinggi kesyukuran kupanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dikurnia juga seorang bayi lelaki sebagai penambah seri rumahtangga kami.
Sungguh suspen .  
Entah berapa kali pemeriksaan ultrasound dijalankan, namun jantina bayi di dalam kandunganku tidak dapat dikenal pasti. Akhirnya kami pasrah, tidak kisahlah samada lelaki atau perempuan, kami akan terima anugerah dan amanah yang Allah kurniakan ini dengan penuh kesyukuran dan kasih sayang.
Walau bagaimanapun, saya tidak jemu berdoa agar Tuhan tunaikan harapan saya dan suami agar dikurniakan dengan seorang bayi lelaki.
Pasrah ... tetapi masih berdoa dan berharap ... sehinggalah ke saat saya disorong ke Dewan Pembedahan.
Oh ya ... lupa nak saya nak cerita bahawa ketiga-tiga anak saya ni special sikit kerana semuanya keluar ‘ikut tingkap’. Saya tidak merasai pengalaman bersalin secara normal dan tidak kenal dengan kesakitan semasa proses ‘kontradiksi’ mahupun ‘labour pain’ seperti ibu-ibu yang lain. Walau bagaimanapun, saya redha kerana saya yakin semua yang berlaku adalah urusan Allah dan hanya Dia yang tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.
Nur Alia Zahra dan Nur Alia Maisarah dilahirkan melalui pembedahan Caesarean kerana kedudukan mereka yang songsang di dalam kandungan. Pembedahan Caesarean atau juga dikenali sebagai C-section dianggap sebagai pilihan terbaik untuk melahirkan bayi yang songsang ini.
Oleh kerana kandungan saya yang ketiga ini adalah normal, pada awalnya saya menyangka bahawa saya akan berpeluang untuk merasai pengalaman bersalin secara normal.
Namun pertemuan dengan doktor pakar telah melenyapkan impian tersebut. Doktor pakar telah memperkenalkan saya dengan istilah VBAC.
VBAC adalah singkatan kepadaVaginal Birth After Cesarean’ atau dalam bahasa yang mudah bersalin secara normal setelah pernah bersalin secara C-section.
VBAC tidak sesuai untuk para ibu yang sudah 2 kali atau lebih menjalani pembedahan C-section dan tidak pernah bersalin secara normal. Risikonya sangat tinggi.
“Kalau you nak VBAC jugak... boleh, tapi you kena pergi bersalin di UK sebab di sana teknologi dan peralatan mereka lebih maju”
“Malaysia belum mampu” begitulah lebih kurang kata doktor pakar tersebut.
Hmm ... Sepatutnya doktor tu cakap awal-awal ... boleh la cuba cari tiket tambang murah Air Asia ... kan ? :)
Akhirnya tarikh 12-11-12 telah ditempah untuk menjalankan pembedahan melahirkan zuriatku yang ketiga ini...
Keadaan di dalam dewan bedah menjadi agak hura-hara kerana kesakitan yang saya rasai pada kali ini sungguh berbeza berbanding dengan pengalaman sebelumnya. Walaupun sudah dibius, namun saya masih merasai kesakitan yang teramat, meraung-raung saya dibuatnya. Kelam-kabut jugalah pasukan pembedahan tersebut berusaha menenangkan keadaan. Di dalam hati ini tidak putus-putus beristighfar semoga semuanya berjalan dengan lancar dan pantas cepat kerana daku sudah tidak tahan lagi menanggung kesakitan ini.
Akhirnya tangisan bayi bergema di dalam dewan bedah Hospital Sultan Abdul Halim itu.
“Awang lagi, ramai sungguh Awang hari ni !” terdengar ungkapan tersebut daripada bibir seorang jururawat yang bertugas.
Sebagai seorang anak kelahiran Negeri Kedah, saya sungguh yakin dan pasti bahawa perkataan ‘Awang’ itu merujuk kepada bayi lelaki.
Ya Allah... Engkau telah kurniakan aku dengan seorang bayi lelaki !
Terasa bagai hilang segala kesakitan yang kualami sebentar tadi. Air mataku mengalir laju mengiringi lafaz kesyukuran yang tidak terhingga. Berakhirlah sebuah penantian... Terima kasih wahai Tuhan !

1 comment:

  1. Assalamualaikum Zayyan! Nama dah lah hmpir sama dengan Rayyan. Tarikh lahir pun agak sama.. Rayyan lahir 11.03.11. Good job IbuAzfa dpt breastfeed bby Zayyan!

    ReplyDelete

Produk Shaklee

 https://cl.accesstrade.co.id/0004bx001mn3